Bukan Senang Untuk Capai Kemenangan
BUKAN SENANG UNTUK CAPAI KEMENANGAN
Allah ada berfirman dalam al-Qur’an yang mana Dia telah menyatakan bahawa perjuangan dalam menegakkan agamaNya bukan sesuatu yang mudah. Ia bukan perjalanan yang singkat. Ia tidak menjanjikan kemenangan dengan cepat. Bahkan ia memerlukan perjalanan yang cukup panjang dan tidak diketahui bilakan kemenangan itu akan tiba.
Bagi pejuang yang ikhlas dalam menginfakkan dirinya dalam perjuangan Islam, soal bilakah masa untuk kemenangan dan keperitan dalam menempuhi dugaan tidak sesekali diendahkannya. Paling penting baginya ialah terus berusaha berjihad untuk melihat terbetukknya keizzahan dan syiar Islam di muka bumi.
Dunia ini penuh dengan dugaan dan ujian yang Allah sediakan untuk hambaNya. Dia mahu melihat siapa antara kita yang baik amalannya dan sanggup berjihad dengan ikhlas semata-mata keranaNya.
Senario hari ini menunjukkan umat Islam berhadapan pelbagai ujian. Di bumi Malaysia pada hari ini juga memperlihatkan kepada kita betapa Allah sayangkan hambaNya dan memberi peluang kepada kita untuk berfikir demi kebaikan. Jemaah Islam sekarang berdepan dengan ujian yang cukup besar sekiranya difikir secara mendalam. Betapa gembiranya golongan yang dengki dengan Islam serta golongan munafiq dengan situasi ini.
Inilah situasinya, kita mungkin sangkakan bahawa kemengan gerakan Islam hampir tiba di bumi ini. akan tetapi bukan mudah selain kita diuji dengan jentera mereka yang memusuhi Islam, kita juga diuji dengan ujian kesatuan. Adakah kesatuan yang dibina puluhan tahun dahulu sudah rapuh?
Bagi penulis, ia tidaklah sampai tahap itu. PAS sebagai gerakan Islam terbesar dan tertua di Malaysia masih kuat. Apa yang didengari oleh kita adalah sesuatu yang diperbesarkan.
Hal yang berlaku ini membuatkan kita berfikir, rupa-rupanya perjalanan untuk menang masih jauh. lebih-lebih lagi jika kita tidak berhati-hati dari terjatuh dalam perangkap musuh.
Bukan senang untuk kita gapai kesenangan. Bukan mudah untuk kita kecapi kemenangan. Kita tidak mahu menjadi penonton sahaja atau hanya sekadar pembaca berita atau sekadar pengulas isu ini dan isu-isu lainnya. Kita mahu menjadi orang yang bersama-sama membantu Jemaah tatkala ia berhadapan dengan situasi sukar. Bagaimana caranya? Terus berintima’ dengan PAS. Bantu menampung kelompangan yang ada, bantu menguatkan kelemahan yang dialami. Bantu melahirkan kader-kader dakwah. Bantu wujudkan suasana masyarakat yang harmonis dan cintakan Islam.
Kader-kader dakwah yang dihasilkan akan memastikan kelangsungan gerakan Islam. Kader-kader dakwah yang ikhlas akan memastikan kesatuan terus wujud dalam usaha memenangkan Islam.
Ingatlah, bukan senang untuk kita menang. Menang dalam pilihanraya adalah bonus. Belum lagi kemenangan sebenar yang mutlak. Tetapi pastikan kemenangan itu disulami usaha membentuk kader yang berkualiti yang mampu berkhidmat untuk Allah, Islam dan ummah.
Tulisan umum untuk dikongsi. Mohon teguran jika ada kekhilafan dan kesalahan. Wallahu a’lam.
“Bersatu ke Arah Kemenangan Sebenar”
0 comments:
Post a Comment