Sunday, April 26, 2009

Ko-Kurikulum : Sejarah Ringkas dan Asasnya Dalam Islam

SEJARAH KO-KURIKULUM



Jika dikatakan perkataan ko-kurikulum, sudah pasti yang terbayang dalam kotak minda kita pada hari ini bahawa ia adalah sesuatu yang berkaitan dengan aktiviti fizikal yang biasanya dikaitkan dengan aktiviti bersukan. Namun jika dilihat dalam skop yang lebih luas, ko-kurikulum meliputi perkara yang cukup luas dalam pendidikan Islam, bukan setakat bersukan sahaja. Merujuk kepada sirah Rasulullah, sebenarnya aktiviti ko-kurikulum yang merentasi kurikulum pendidikan Islam cukup dititik-beratkan oleh Rasulullah.



Sabda Rasulullah s.a.w :



ارموا وأنا معكم كلكم – رواه البخاري

Maksudnya : “Lemparkanlah (panahmu) dan saya sentiasa berada bersama-sama kamu sekalian.”- hadith riwayat al-Bukhari.



Dalam riwayat al-Baihaqi sabda Rasulullah yang bermaksud : “Ajarilah anak-anakmu belajar berenang, memanah dan perintahkanlah mereka agar mereka dapat meloncat ke punggung kuda dengan baik.”

- أو كما قال الرسول صلى الله عليه وسلم –



Dalam hadith riwayat al-Dailami :


علموا أولادكم الرماية والسباحة



Maksudnya : ”Ajarkanlah anak-anakmu memanah dan berenang.”



Dalam hadith di atas, dapat difahami dengan jelas bahawa Rasululah s.a.w menganjurkan supaya umat Islam mengajarkan anak-anak mereka akan ilmu memanah, berenang dan menunggang kuda. Ilmu-ilmu ini merupakan ilmu asas ketenteraan yang amat penting untuk umat Islam kuasai bagi mempertahankan Islam apabila diserang musuh. Tetapi ilmu ini bukan sahaja untuk peperangan bahkan pada hari ini kita lihat ada sukan mememanah, berkuda dan renang yang dipertandingkan bukan sahaja peringkat nasional bahkan hingga ke peringkat antarabangsa.



Ada juga kisah yang diceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bermain lumba lari dengan Saidatina Aishah r.a. Kisah ini walaupun dilihat hanya sebagai tindakan Rasulullah s.a.w melayan kerenah Saidatina Aishah, tetapi ia juga sebenarnya menggambarkan salah satu asas pendidikan ko-kurikulum yang dinamakan lumba lari. Sukan lumba lari yang dipertandingkan sekarang dalam acara olahraga merupakan salah satu acara yang diambil daripada kisah baginda tersebut. Terdapat juga kisah yang menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w bergusti lengan dengan Saidina Umar bin al-Khattab r.a. Banyak lagi asas ko-kurikulum yang dapat kita lihat dalam sirah Rasulullah s.a.w. melalui peperangan. Pendidikan persediaan peperangan banyak juga menjadi asas kepada aktiviti ko-kurikulum pada hari ini.



DALIL KEPENTINGAN KO-KURIKULUM



Firman Allah Taala:


وأعدوا لهم مااستطعتم من قوة ومن رباط الخيل ترهبون به عدوالله وعدوكم وءاخرين من دونهم لا تعلمونهم الله يعلمهم وما تنفقوا من شيء في سبيل الله يوف إليكم وأنتم لا تظلمون.


Maksudnya:


“Bersiap sedialah kamu untuk (menentang) mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari (pasukan-pasukan) yang berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiayaNya.”

(Surah al-Anfal : ayat 60)



Hadith riwayat al-Baihaqi yang bermaksud :


“Ajarilah anak-anakmu belajar berenang, memanah dan perintahkanlah mereka agar mereka dapat meloncat ke punggung kuda dengan baik.”


أو كما قال الرسول صلى الله عليه وسلم.



Daripada ayat al-Qur’an dan hadith yang dinyatakan tadi, dapat kita lihat bahawa adanya gesaan supaya kita umat Islam membina kekuatan jasmani. Kesihatan tubuh badan adalah asas kekuatan jasmani. Elemen ini sememangnya diperlukan oleh kita bukan sahaja sebagai kekuatan untuk beribadah kepada Allah bahkan juga sebagai asas kekuatan jasmani untuk mempertahankan Islam daripada diserang oleh musuh. Musuh akan gerun untuk berhadapan dengan umat Islam sekiranya mereka mempunyai kekuatan fizikal dari segi kekuatan jasmani, persediaan ketenteraan, persenjataan dan lain-lain yang berkaitan. Jadi aktiviti membina kekuatan jasmani seperti aktiviti bersukan dan persediaan ketenteraan amat penting dalam Islam.



Satu lagi aspek yang penting dalam ko-kurikulum ialah aktiviti berpersatuan sebagai persediaan untuk menghadapi realiti sebenar bermasyarakat.

Umar al-Khattab.a berkata :

لا إسلام إلا بالجماعة ولا جماعة إلا بالقيادة ولا قيادة إلا بالطاعة



Maksudnya : “Sesungguhnya Islam itu tidak dapat ditegak kecuali dengan jamaah (persatuan), persatun pula tidak akan ada kecuali dengan adanya pemimpin dan pemimpin tidak akan berbuat apa-apa kecuali dengan ketaatan pengikut.”



Daripada Abdullah bin Amru r.a., Sabda Nabi s.a.w :



لا يحل لثلاثة يكونون بفلاة من الأرض إلا أمروا عليهم أحدهم



Maksudnya : ”Haram bagi bagi tiga orang yang berada di sesuatu kawasan melainkan mereka melantik salah seorang daripada mereka menjadi ketua.”

– Hadith Riwayat Ahmad.



Ini adalah dua dalil kenapa wajib ada aktiviti ko-kurikulum yang berbentuk aktiviti berpersatuan. Banyak lagi dalil daripada al-Qur’an yang menyatakan wajibnya aktiviti seperti ini yang juga terkandung dalam pendidikan kemasyarakatan dalam Pendidikan Islam. Aktiviti berpersatuan amat penting kerana ia adalah asas kepada hidup bermasyarakat. Aktiviti berpersatuan merapatkan lagi kekuatan ukhuwwah sesama individu yang akan membentuk masyarakat yang lebih besar.



PENGENALAN FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM



Falsafah Pendidikan Islam pula ialah falsafah pendidikan yang berteraskan ruh Islam, iaitu falsafah Islam untuk pendidikan, dan ia disebut Falsafah Pendidikan Islam (Al-Syaibany, 1991). Jadi, maksud daripada Falsafah Pendidikan Islam ialah menyediakan manusia dengan ilmu pengetahuan yang cukup agar ia kenal dirinya serta tugas dan tanggungjawabnya, serta mengetahui cara untuk menjalankan atau melaksanakan tanggungjawabnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Bila ia dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik maka jadilah ia insan yang soleh.



Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid/pelajar berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru, ilmu belum tentu mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan.



MAKSUD KOKURIKULUM



Merupakan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan ia dilakukan di luar bilik darjah.



Aktiviti-aktiviti ko-kurikulum adalah seperti berikut:



  • Sukan
  • Permainan
  • Badan beruniform
  • Kelab
  • Persatuan


KOMPONEN KOKURIKULUM

KEPENTINGAN KO-KURIKULUM



  • Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979).
  • Menteri Pelajaran berusaha meningkatkan mutu pendidikan dan murid-murid diwajibkan melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum ini (Berita Harian, 22 November 1984).
  • Seminar kebangsaan mengenai kokurikulum telah diadakan pada tahun 1985 (KBSR dan KBSM)



TUJUAN KO-KURIKULUM


  • Mengembangkan bakat dan kreativiti.
  • Disiplin
  • Kemahiran bersosial
  • Pengalaman
  • Pupuk perasaan kekitaan antara pelajar
  • Aplikasikan pengetahuan
  • Memupuk nilai-nilai murni
  • Perpaduan




KO-KURIKULUM DALAM ISLAM MENURUT IBNU KHALDUN



Manusia memerlukan kehidupan yang bermasyarakat. Perlulah disemat nilai-nilai yang bertepatan dengan nilai-nilai Islam, supaya dapat membantu masyarakat dalam usaha untuk mengamalkan dengan seteguhnya nilai-nilai Islam dan berganding bahu di dalam apa-jua persoalan.



Nilai-nilai Individu:



o Budaya bersaing

o Bercirikan islamik

o Bebas daripada sebarang unsur pergaulan bebas

o Nilai-nilai yang baik



TUJUAN PENDIDIKAN ISLAM



Dengan orientasi moralistiknya dan skopnya yang menyatukan ilmu-ilmu syariah dan ilmu-ilmu aqliah dalam wadah iman kepada Yang Maha Esa maka lengkaplah pendidikan Islam untuk memenuhi keperluan sebenarnya dari hidup insan di atas muka bumi ini. Al-Quran telah menegaskan berkali-kali bahawa :



~Status manusia yang kekal abadi ialah sebagai "hamba Allah".

~Peranan manusia di dunia ialah melaksanakan kehendak Allah dan memanfaatkan alam raya ini untuk kebahagiaan hidupnya di dunia dan di akhirat nanti. Peranan ini dikenal sebagai peranan Khalifah Allah di bumi.

~Alam dijadikan untuk manusia mengambil manfaat seluas-luasnya.



TUJUAN KO-KURIKULUM BERTERASKAN PENDIDIKAN ISLAM


  • Memberikan pengalaman bersukan dan juga berpesatuan.

  • Memenuhi hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan.
  • Menyemai semangat kekitaan.
  • Memupuk nilai-nilai murni
  • Untuk mengembangkan kemahiran bersosial.
  • Menyediakan pengalaman perantara antara alam persekolahan dan alam luar sekolah.
  • Membentuk disiplin.
  • Membentuk peribadi unggul.
  • Untuk mengembangkan bakat.


Semua elemen di atas perlu berteraskan ISLAMIK



KO-KURIKULUM ISLAMIK SEBAGAI KESEDIAAN MENEMPUHI ZAMAN DEWASA



· quran01Selain dari itu, tabi'e manusia itu sendiri yang dijadikan Allah bermula dari kejadian Adam a.s adalah dimulakan dengan persediaan penemuan ilmu pengetahuan dan cahaya kebenaran sebagai persediaannya membawa amanah sebagai wakil Allah di bumi (Khalifah Allah Fil Ardh).


"Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat, lalu berfirman, “Sebutkanlah kepadaKu nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!”.

(Al-Baqarah: 31).


· Begitu juga mengenai hubungan Nabi Muhammad S.A.W yang pertama sekali dengan Allah.


"Bacalah dengan nama Tuhan pemelihara engkau yang mencipta. Yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan yang memelihara dan termulia yang mengajar dengan kalam. Mengajar manusia sesuatu yang tidak diketahuinya."

(Al-Alaq: 1-5).



SUB KEMAHIRAN DALAM KO-KURIKULUM



Ia merupakan satu sifat yang sebati di dalam jiwa, terhasilnya berkat daripada proses rangkuman prinsip dan kaedah ilmu dalam menangani masalahnya.



Menurut Ibnu Khaldun, bakat adalah merupakan satu unit sub-kemahiran yang sememangnya berkait rapat dengan rumpun perkara yang melibatkan unit kemahiran. Ia bukanlah sekadar faham dan sedar, sehingga serupa sahaja antara orang yang mengetahui sesuatu ilmu dengan penuntut ilmu baru yang menceburi ilmu itu. Sesungguhnya malakah atau bakat itu hanyalah terdapat pada orang yang mempunyai ilmu sahaja, tanpa keilmuan dan disiplin keilmuan yang jitu, maka pencapaian yang dikehendaki tidak tercapai seperti yang sepatutnya dicapai oleh kehendak matlamat pencapaian ilmu dan bakat dan kemahiran.



Menurut Ibnu Khaldun lagi, malakah yang dimaksudkan di sini tidak lain dan tidak bukan ialah kemahiran di dalam memperaktikkan disiplin keilmuan dan kehidupan di dalam menerapkan ia ke seluruh sudut bidang kehidupan, di sini yang dimaksudkan demikian ialah kokurikulum yang terkandung di bawahnya beberapa unit antaranya persatuan persatuan yang mana telah disebut di dalam bahagian awal di dalam tugasan ini. Kemahiran yang diperlukan di dalam menerapkan ilmu yang berunsurkan nur Ilahi adalah merupakan satu tuntutan yang sememangnya tidak dapat disangkal lagi, kerana elemen ini telah banyak kali disebut di dalam al-Quran. Antara ayat al-Quran ada yang menyebut tentang bahawa umat Islam perlulah mengikut Islam itu sepenuhnya, sepenuh hati, sepenuh jiwa dan raga dan sepenuh aqidah dan sebagainya.



Ibnu khaldun menekankan bahawa dalam proses kita menerima ilmu yang bakal kita gunakan untuk mempraktikkan seluruh keilmuan ini di dalam kokurikulum khasnya memerlukan satu keadaan yang menjamin penerimaan yang sempurna untuk tujuan tersebut, ianya tidak lain dan tidak bukan ialah kesucian ilmu yang hakiki, ini penting dalam usaha kita menjadikan penerimaan ilmu berjalan dengan lancar.[1]




ADAB-ADAB DALAM PELAKSANAAN KO-KURIKULUM



1. Menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan.



Allah SWT berfirman yang bermaksud :



13. Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

(Surah al-Hujurat : 13)



Ayat ini menjelaskan supaya pergaulan lelaki dan perempuan hendaklah disertai sifat-sifat taqwa kepada Allah SWT. Hal ini memetik konsepsi sebenar terhadap keperluan melakukan pergaulan yang diiktiraf oleh Allah SWT.



2. Menutup aurat.



Maksud firman Allah :



31. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.

(Surah al-Nur : 31)



Ayat tersebut menjelaskan supaya kaum wanita menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki yang haram melihat aurat mereka.



3. Mengelakkan unsur-unsur maksiat dan yang melalaikan.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:



“Pada hari kiamat, seorang lelaki diseret untuk dilemparkan ke neraka dan ususnya terburai. Lalu dia digiring ke dalam neraka seperti keldai yang menarik alat penggiling. Dia kemudian dikerumuni penghuni neraka seraya bertanya: “Apa yang telah menimpamu? Bukankah engkau telah beramar makruf?” Dia menjawab: “Betul, aku telah menyuruhmu berbuat makruf dan melarangmu berbuat mungkar, tetapi aku telah melanggarnya”.“



Hadis tersebut menerangkan mengenai azab yang akan diterima di akhirat kelak oleh mereka yang melakukan maksiat.



4. Menjaga hak-hak setiap individu.



Perkara ini perlu dititik beratkan supaya setiap perkara yang dilakukan dalam aktiviti ko-kurikulum tidak menyusah dan menzalimi orang lain. Setiap aktiviti-aktiviti yang dilakukan hendaklah menjaga batas hak-hak individu yang terlibat.



5. Mendatangkan faedah kepada agama dan masyarakat serta mengelakkan pembaziran wang, masa dan tenaga.



Setiap aktiviti yang dilakukan hendaklah memberi manfaat dan faedah kepada agama dan masyarakat supaya perkara tersebut tidak dilakukan dengan sia-sia. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga hendaklah tidak berlaku pembaziran wang, masa dan tenaga. Perkara-perkara tersebut mesti ditekankan supaya pelaksanaan ko-kurikulum selaras dengan kehendak agama.




ADAKAH PELAKSANAAN KO-KURIKULUM SEKARANG MENURUT ISLAM?



1. Tidak kesemua pelaksanaan ko-kurikulum sekarang berlandaskan syariat Islam.



Pelaksaan ko-kurikulum pada masa sekarang tidak semua berlandaskan syariat Islam, hanya sebahagian sahaja yang selari dengan kehendak Islam. Perkara ini dapat dilihat dalam beberapa aktiviti yang dijalankan sebagai contoh permainan di padang, kebanyakan tidak menjaga aurat antara lelaki dan perempuan. Sesetengah pelajar bebas melakukan apa jua tindakan dalam aktiviti ko-kurikulum yang dijalankan tanpa pantauan yang sebaiknya daripada guru-guru. Ini menyebabkan terjadinya masalah penjagaan aurat di kalangan pelajar.



Antara dalil yang menunjukkan wajib kita menjaga aurat.



Maksud firman Allah :



26. Hai anak Adam (umat manusia), Sesungguhnya kami Telah menurunkan kepadamu Pakaian untuk menutup auratmu dan Pakaian indah untuk perhiasan. dan Pakaian takwa(selalu bertaqwa kepada Allah) Itulah yang paling baik.

(Surah al-‘Araf : 26)



Tetapi, tidak dapat dinafikan juga terdapat sebahagian aktiviti yang dijalankan selaras dengan kehendak Islam. Perkara ini bergantung kepada kebijaksanaan guru-guru yang mengawal aktiviti-aktiviti ko-kurikulum tersebut.



2. Kebanyakan pelaksanaannya melibatkan pergaulan melampaui batasan syariat antara lelaki dan perempuan.

Kebanyakkan pelaksanaan ko-kurikulum sekarang melibatkan pergaulan antara lelaki dan perempuan yang melampaui batasan syariat. Masalah ini seolah-olah dipandang ringan oleh sesetengah pihak dan ini menyebabkan masalah pergaulan melampaui batasan syariat dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum tidak dapat diatasi dengan sebaik mungkin.



Seorang wanita Inggeris, Lady Cook pernah berkata : Pergaulan antara lelaki dan wanita hanya menguntungkan kaum lelaki. Di samping itu, kaum wanita selalu dikejar oleh kerakusan yang bertentangan dengan nalurinya. Selagi pergaulan ini semakin bebas, maka anak-anak hasil perzinaan juga semakin ramai. Ini merupakan bencana yang besar bagi wanita.



Jadi, pelaksaan ko-kurikulum hendaklah dititik beratkan soal batasan pergaulan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.




KESIMPULAN



Jika falsafah itu diertikan dengan "cintakan hikmah atau kebenaran" maka Falsafah Islam bererti cintakan hikmah atau kebenaran yang berasaskan ajaran Islam.

Di dalam ko-kurikulum sekalipun terdapat selitan tentang Falsafah Pendidikan Islam, hanya yang tinggalnya ialah perlaksanaannya sahaja lagi kerana di dalam penulisan yang bertajuk “Iktiar Daripada Kebangkitan dan Kejatuhan Ummah” hasil tulisan KOR AGAMA ATM menyebut bahawa bangsa arab pernah hampir hilang kemuliaannya kerana telah melupakan sedikit tentang anjuran ALLAH di dalam penghayatan Islam sebagai ADDIN.



Justeru para pendidik semua seharusnya dan sewajibnya menyemai Islam yang syumul (menyeluruh) di dalam diri sendiri dahulu supaya nanti jiwa-jiwa yang bakal dididik kelak akan mudah terserap ke dalam jiwa mereka ruh ISLAM.


Wallahua’lam.



RUJUKAN



Abdullah Al-Amin Al-Na’miy. (1994). Kaedah dan Teknik Pengajaran Menurut Ibnu Khaldun dan Al-Qabisi. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.


Abdullah Nasih Ulwan. (1988). Pendidikan Anak-anak Dalam Islam. Kaherah. Dar Es Salam.


Drs. Hanafi Mohamed. (1996). Falsafah Pendidikan Menurut Al-Qur’an. Batu

Caves. Pustaka Ilmi.


Drs. Zaini Zamani. (1996). Siapa Anak Muslim. Batu Caves. Pustaka Ilmi.


Mohd. Asrof Jalaluddin. (1996). Pengaruh dan Bahaya Maksiat. Johor. Perniagaan Jahabersa.


Mohd Azhar Abdullah. (2004). Batasan Pergaulan Lelaki dan Perempuan: Bentuk-bentuk dan Hukumnya. Kota Bharu. Percetakan dan Perniagaan Nik Daud Sdn. Bhd.


Mohd Azhar Abdullah. (2004). Jalinan Aurat dalam dan luar Solat. Kota Bharu. Percetakan dan Perniagaan Nik Daud Sdn. Bhd.


Zamanhuri Hj. Shamsuddin. (1979). Koleksi PKPIM Simposium Pendidikan Islam. Kuala Lumpur.



[1] Abdullah al-Amin al-Na’miy, Keadah Dan Teknik Pengajaran Menurut Ibnu Khaldun Dan al-Qabisi, Hlm 74-75

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP