Ilmu, Amal dan Ulama
Ilmu, Amal dan Ulama
Sesungguhnya Allah telah menyatakan bahawa hanya orang yang diberikan ilmu pengetahuan adalah golongan yang takut kepadaNya. Ini berdasarkan firmanNya dalam Surah Fatir ayat 28 :
Maknanya : “Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”
Ilmu pada hakikatnya adalah hak Allah. Apa yang ada pada kita hanyalah sedikit mengikut kadar yang Dia anugerahkan. Itupun amat sikit.
Ilmu walaupun sedikit tetapi sekiranya ikhlas dalam menuntut dan diamalkan, ia akan ada keberkatan. Disebut dalam ayat di atas bahawa hanya golongan ulama yang takut akan Allah. Kenapa khusus ditujukan kepada mereka? Kerana merekalah yang memahami ajaran agama.
Ulama adalah golongan yang ikhlas dalam menuntut ilmu dan beramal dengannya. Sekiranya terdapat mereka yang cuba mengaku ulama tetapi tidak mencerminkan peribadi ulama, maka dia bukanlah ulama. Bahkan berkemungkinan pembawa fitnah dan perosak agama dengan peribadinya yang sebegitu rupa.
Ilmu akan sentiasa hidup dan bertambah sekiranya ia diamalkan dan disebarkan pula kepada orang lain. Allah akan mengangkat mereka yang beriman dan diberikan ilmu beberapa darjat. Dapat dilihat bagaiman darjat yang dinyatakan iaitu kemuliaan dan kehormatan masyarakat terhadap golongan alim ulama.
Ilmu ada disiplinnya yang tersendiri bergantung kepada bidang. Ilmu dikira tidak menepati kriteria sekiranya tidak diikuti melalui disiplinnya. Umpama kita mahu ke Klang, ada jalannya. Bukan main ikut suka kita hendak ikut mana sahaja. Silap haribulan tak sampai Klang. Satu analogi.
Namun kenapa pada hari ini ada golongan yang cuba menafikan kedudukan ulama, peranan mereka, jasa mereka dan keilmuan mereka dengan hanya berdalilkan bahawa mereka semua tidak ma’sum. Mazhab dikatakan tidak perlu. Ya, ulama tidak ma’sum sebab mereka bukan nabi. Namun tidakkah mereka sedar kedudukan ulama yang disabdakan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam?
Mudah kata, banyak mana sangat ilmu kita? Berapa kitab yang kita khatam? Berapa disiplin ilmu yang kita kuasai? Berapa alimkan kita dalam Bahasa Arab? Sampaikah kita ke taraf mujtahid?
Tulisan ini ditulis secara umum untuk sama-sama kita ambil pengajaran dan berfikir. Sama-sama kita berdoa agar dijadikan kita dalam kalangan orang alim. Amiin.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment