Friday, October 30, 2009

Menuju Kaabah Untuk Beribadah


MENUJU KAABAH UNTUK BERIBADAH



Ibadah Haji, rukun Islam kelima yang mana bagi sesiapa yang mampu menunaikannya maka wajib bagi mereka tunaikannya segera. Haji dari segi istilah bermaksud menuju Kaabah untuk beribadah.




Ibadah Haji yang disyariatkan kepada umat Islam untuk ditunaikan dalam bulan-bulan tertentu mempunyai banyak hikmahnya yang tersendiri. Ia merupakan muktamar tahunan bagi umat Islam. Bayangkan, berjuta muslim datang berhimpun di Tanah Haram dari seluruh pelusuk dunia untuk menunaikan ibadah.



Subhanallah, inilah tanda keagungan Allah.



Cukup masa, cukup kemampuan, bagi muslim yang taat, mereka akan datang ke Tanah Haram untuk menunaikan ibadah tersebut tanpa perlu dipaksa. Inilah kehebatan taqwa yang Allah ciptakan dalam diri hambaNya yang soleh. Soal jika ada yang datang tapi tidak ikhlas, itu soal lain yang Allah sendiri akan menilainya nanti.



Bagi menunaikan ibadah ini, proses yang dilalui oleh muslim cukup besar. Terutama bagi orang yang kurang berada. Di sini adanya penerapan sifat pengorbanan dalam jiwa muslim mukmin. Untuk menampung perbelanjaan ke Mekah memerlukan mereka yang telah berkemampuan mengorbankan sejumlah harta mereka untuk melaksanakan tuntutan tersebut. Bagi yang kurang berada, sifat bersungguh-sungguh akan mereka dapati kerana untuk menyimpan wang perbelanjaan yang cukup banyak itu bukan memakan tempoh sebulan dua, bahkan bertahun-tahun, dengan harapan adanya rezeki suatu masa untuk tunaikan haji.



Ibadah haji lambang penyatuan umat Islam tanpa mengira warna kulit, bahasa pertuturan dan sempadan negara. Inilah antara sifat Islam iaitu sejagat atau universal ataupun global. Umat Islam berhimpun dalam satu tempat pada waktu yang sama yang telah ditetntukan oleh Allah. Bayangkan kekuatan yang boleh dibina dari gerombolan jemaah ummah ini.



Dalam ibadah haji juga memerlukan kekuatan jasadiah seseorang individu yang mahu menunaikan haji. Inilah prinsip ajaran Islam yang mahukan umatnya membina kekuatan. Ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal, jihad qital juga memerlukan kekuatan fizikal. Jihad-jihad dalam konteks lain juga perlu mengikut kadarnya. Namun jihad qital memerlukan kekuatan yang lebih dari yang lain sama juga dengan ibadah haji. Di bawah panas terik mentari. Langit tanpa awan. Keadaan sesak dan jalan yang berdebu. Bayangkan.




Subhanallah, inilah tarbiyah dari Allah.



Sekarang ini tiba masa sekali lagi Panggilan Haji atau Panggilan Kaabah bertamu. Maka kita akan saksikan umat Islam berduyun-duyun berangkat ke Tanah Haram. Moga-moga segala mereka untuk usaha ke sana diredhai oleh Allah dan mendapat haji mabruk.

Read more...

Monday, October 26, 2009

Bukan Senang Untuk Capai Kemenangan


BUKAN SENANG UNTUK CAPAI KEMENANGAN



Allah ada berfirman dalam al-Qur’an yang mana Dia telah menyatakan bahawa perjuangan dalam menegakkan agamaNya bukan sesuatu yang mudah. Ia bukan perjalanan yang singkat. Ia tidak menjanjikan kemenangan dengan cepat. Bahkan ia memerlukan perjalanan yang cukup panjang dan tidak diketahui bilakan kemenangan itu akan tiba.



Bagi pejuang yang ikhlas dalam menginfakkan dirinya dalam perjuangan Islam, soal bilakah masa untuk kemenangan dan keperitan dalam menempuhi dugaan tidak sesekali diendahkannya. Paling penting baginya ialah terus berusaha berjihad untuk melihat terbetukknya keizzahan dan syiar Islam di muka bumi.



Dunia ini penuh dengan dugaan dan ujian yang Allah sediakan untuk hambaNya. Dia mahu melihat siapa antara kita yang baik amalannya dan sanggup berjihad dengan ikhlas semata-mata keranaNya.



Senario hari ini menunjukkan umat Islam berhadapan pelbagai ujian. Di bumi Malaysia pada hari ini juga memperlihatkan kepada kita betapa Allah sayangkan hambaNya dan memberi peluang kepada kita untuk berfikir demi kebaikan. Jemaah Islam sekarang berdepan dengan ujian yang cukup besar sekiranya difikir secara mendalam. Betapa gembiranya golongan yang dengki dengan Islam serta golongan munafiq dengan situasi ini.



Inilah situasinya, kita mungkin sangkakan bahawa kemengan gerakan Islam hampir tiba di bumi ini. akan tetapi bukan mudah selain kita diuji dengan jentera mereka yang memusuhi Islam, kita juga diuji dengan ujian kesatuan. Adakah kesatuan yang dibina puluhan tahun dahulu sudah rapuh?



Bagi penulis, ia tidaklah sampai tahap itu. PAS sebagai gerakan Islam terbesar dan tertua di Malaysia masih kuat. Apa yang didengari oleh kita adalah sesuatu yang diperbesarkan.



Hal yang berlaku ini membuatkan kita berfikir, rupa-rupanya perjalanan untuk menang masih jauh. lebih-lebih lagi jika kita tidak berhati-hati dari terjatuh dalam perangkap musuh.


Bukan senang untuk kita gapai kesenangan. Bukan mudah untuk kita kecapi kemenangan. Kita tidak mahu menjadi penonton sahaja atau hanya sekadar pembaca berita atau sekadar pengulas isu ini dan isu-isu lainnya. Kita mahu menjadi orang yang bersama-sama membantu Jemaah tatkala ia berhadapan dengan situasi sukar. Bagaimana caranya? Terus berintima’ dengan PAS. Bantu menampung kelompangan yang ada, bantu menguatkan kelemahan yang dialami. Bantu melahirkan kader-kader dakwah. Bantu wujudkan suasana masyarakat yang harmonis dan cintakan Islam.



Kader-kader dakwah yang dihasilkan akan memastikan kelangsungan gerakan Islam. Kader-kader dakwah yang ikhlas akan memastikan kesatuan terus wujud dalam usaha memenangkan Islam.



Ingatlah, bukan senang untuk kita menang. Menang dalam pilihanraya adalah bonus. Belum lagi kemenangan sebenar yang mutlak. Tetapi pastikan kemenangan itu disulami usaha membentuk kader yang berkualiti yang mampu berkhidmat untuk Allah, Islam dan ummah.



Tulisan umum untuk dikongsi. Mohon teguran jika ada kekhilafan dan kesalahan. Wallahu a’lam.



“Bersatu ke Arah Kemenangan Sebenar”

Read more...

Sunday, October 25, 2009

Ilmu, Amal dan Ulama



Ilmu, Amal dan Ulama



Sesungguhnya Allah telah menyatakan bahawa hanya orang yang diberikan ilmu pengetahuan adalah golongan yang takut kepadaNya. Ini berdasarkan firmanNya dalam Surah Fatir ayat 28 :



Maknanya : “Dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama’. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”



Ilmu pada hakikatnya adalah hak Allah. Apa yang ada pada kita hanyalah sedikit mengikut kadar yang Dia anugerahkan. Itupun amat sikit.




Ilmu walaupun sedikit tetapi sekiranya ikhlas dalam menuntut dan diamalkan, ia akan ada keberkatan. Disebut dalam ayat di atas bahawa hanya golongan ulama yang takut akan Allah. Kenapa khusus ditujukan kepada mereka? Kerana merekalah yang memahami ajaran agama.



Ulama adalah golongan yang ikhlas dalam menuntut ilmu dan beramal dengannya. Sekiranya terdapat mereka yang cuba mengaku ulama tetapi tidak mencerminkan peribadi ulama, maka dia bukanlah ulama. Bahkan berkemungkinan pembawa fitnah dan perosak agama dengan peribadinya yang sebegitu rupa.



Ilmu akan sentiasa hidup dan bertambah sekiranya ia diamalkan dan disebarkan pula kepada orang lain. Allah akan mengangkat mereka yang beriman dan diberikan ilmu beberapa darjat. Dapat dilihat bagaiman darjat yang dinyatakan iaitu kemuliaan dan kehormatan masyarakat terhadap golongan alim ulama.


Asy-Sayhid Hassan al-Banna, mujahid gerakan Islam


Ilmu ada disiplinnya yang tersendiri bergantung kepada bidang. Ilmu dikira tidak menepati kriteria sekiranya tidak diikuti melalui disiplinnya. Umpama kita mahu ke Klang, ada jalannya. Bukan main ikut suka kita hendak ikut mana sahaja. Silap haribulan tak sampai Klang. Satu analogi.



Namun kenapa pada hari ini ada golongan yang cuba menafikan kedudukan ulama, peranan mereka, jasa mereka dan keilmuan mereka dengan hanya berdalilkan bahawa mereka semua tidak ma’sum. Mazhab dikatakan tidak perlu. Ya, ulama tidak ma’sum sebab mereka bukan nabi. Namun tidakkah mereka sedar kedudukan ulama yang disabdakan oleh Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam?



Mudah kata, banyak mana sangat ilmu kita? Berapa kitab yang kita khatam? Berapa disiplin ilmu yang kita kuasai? Berapa alimkan kita dalam Bahasa Arab? Sampaikah kita ke taraf mujtahid?



Tulisan ini ditulis secara umum untuk sama-sama kita ambil pengajaran dan berfikir. Sama-sama kita berdoa agar dijadikan kita dalam kalangan orang alim. Amiin.



Wallahu a’lam.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP