Sunday, November 8, 2009

Pendidikan Bersepadu : Tugas Penting Pendidik Hari Ini



PENDIDIKAN BERSEPADU : TUGAS PENTING PENDIDIK HARI INI



Jika sebelum ini penulis ada menyentuh soal guru sebagai profesion, tulisan kali akan menyentuh berkenaan pendidikan bersepadu yang menjadi keperluan kepada pendidikan pada hari ini. Semuanya melibatkan guru sebagai pendidik dan tanggungjawabnya dalam menjalankan amanah tersebut. Kaitannya juga dengan tanggungjawab kerajaan yang memerintah menyediakan kurikulum yang sedemikian.



AMANAH PENDIDIK



Jika pada suatu ketika dahulu, sewaktu gemilangnya tamadun Islam, kita melihat bahawa setiap ilmuwan Islam itu ada asas pendidikan yang kukuh. Mereka terdiri daripada para huffaz al-Qur’an sejak dari kecil lagi. Cakupan ilmu mereka cukup luas daripada ilmu fardhu ain sehinggalah fardhu kifayah. Kemudian mereka ada bidang ikhtisas yang mereka khususkan dalam penerokaan dan pengkajian ilmu. Semuanya berpaksikan daripada Tauhid dan tuntutan supaya umat Islam berfikir tentang keajaiban ciptaan Allah Ta’ala. Sebab itulah guru, ilmuwan atau pendidik pada waktu itu tidak sesekali mengambil upah dari usaha menyebarkan ilmunya. Semuanya ikhlas kerana Allah. Bahkan ada satu ilmuwan menolak ganjaran yang diberikan oleh khalifah kerana menerbitkan karya yang cukup berharga. Alasan yang kukuh diberikan oleh beliau ialah, beliau menulis bukan kerana ganjaran. Cukup tulus niat mereka dalam menyebarkan ilmu. Mungkin jauh berbeza pada hari ini. Bila anggapan bahawa guru itu sekadar profesion semata-mata, maka tiada lagi penekanan soal amanah dalam mendidik. Semuanya akan berpaksikan kerja cari makan.



FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH



Dua cabang yang cukup besar dalam ilmu Islam ialah ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Boleh disimpulkan bahawa ilmu fardhu ain khusus kepada ilmu mengurus diri dan ilmu fardhu kifayah itu khusus kepada ilmu mengurus sistem. Apabila lengkapnya ilmu mengurus diri dipelajari dan diamalkan, maka proses mengurus diri akan menjadi baik dan cemerlang. Lihatlah kehidupan para ulama yang mengamalkan ajaran Islam, akan terselah pengurusan dan kehidupan yang cukup berakhlak. Kemudiannya terserlahlah tamadun yang lahir daripada kesempurnaan tadi. Inilah yang dibuktikan oleh umat terdahulu dalam usaha mereka membina tamadun yang cukup hebat. Namun hari ini, lantaran larinya fokus pendidikan ilmu fardhu ain yang sekadar menjadi subjek pengajian, maka lompangnya jelas kelihatan. Rosaknya pengurusan sistem pentadbiran dengan karenah birokrasi dan rasuah hasil dari tiadanya penekanan kepada ilmu fardhu ain. Boleh ditanya berapa ramai kalangan yang berjawatan tinggi dan juga kerja yang dikatakan profesional, berapa kerat yang menunaikan solat? Atau lebih mudah, berapa kerat yang oleh baca al-Qur’an? Anak muda? Inilah hasil pemecahan dua ilmu tadi. Tiada kesinambungan antara keduanya akan terhasillah golongan agama yang tidak tahu isu semasa dan golongan pekerjaan lain yang diberi jolokan profesional yang tidak tahu agama.



TUNTUTAN PENDIDIKAN BERSEPADU



Sudah tiba masanya sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia pada hari ini dirombak secara besar-besaran lantaran ia tidak berupaya mengekang kejatuhan akhlak masyarakat terutama generasi muda mudi. Mereka diuar-uar sebagai pelapis kepimpinan negara, tetapi adakah kita mahu lihat kepimpinan suatu masa nanti dengan wajah anak muda yang porak peranda yang ditunjukkan pad hari ini? Golongan anak muda yang cerdik dan terdidik pula hanya beberapa peratus sahaja. Mampukah mereka menghadapi golongan yang lebih ramai itu? Pendidikan bersepadu secara ringkasnya mahu dikatakan di sini ialah pendidikan yang menekankan kepada matlamat akhirnya untuk membentuk masyarakat yang berakhlak. Nilai Tauhid dalam pendidikan perlu merentas semua bidang baik matematik, sains, geografi, dan sebagainya. Ini kerana fungsi ilmu asasnya adalah untuk kita mengenali Allah dan mentauhidkanNya. Saya tertarik dengan penerangan yang diberikan oleh seorang pensyarah dari UKM sewaktu saya dan sahabat-sahabat mengadakan satu talk atau diskusi. Beliau menunjukkan kepada kami bagaimana setiap yang ada di bumi ini ada perkiraannya. Perkiraan tersebut diketahui melalui ilmu matematik. Adalah caranya yang saya sendiri tidak pelajarinya. Setiap benda yang dikatakan itu ada perkiraannya yang jika dikira akan terbit satu nilai ukuran yang sama. Jadi siapa yang ciptakan semua ini? Manusia? Sama sekali tidak, yang menciptakannya adalah Allah. Maka inilah salah satu contoh bagaimana proses pendidikan bersepadu yang mahu diterapkan dalam pengajaran. Paksi ilmu adalah Tauhid.



ASAS ILMU ADALAH AL-QUR’AN




Pemecahan bidang ilmu tanpa ada tali penghubung antara semua bidang tersebut akan melahirkan senario yang tidak menyihatkan dalam masyarakat. Jika semuanya berkiblatkan barat, bersumberkan ilmu yang dihasilkan di barat semata-mata, maka pincanglah sistem. Kita perlu kembali kepada asas yang diajar oleh Allah dan RasulNya iaitu al-Qur’an dan juga al-Sunnah menjadi sumber kedua. Kemudiannya tinggalan hasil ilmuwan Islam yang mana karya mereka cukup bernilai. Bahkan ia menjadi rujukan barat dalam membangkitkan mereka daripada kegelapan dan kejumudan pemikiran yang mana zaman itu digelar Dark Ages atau zaman kegelapan. Tamadun Islam pada waktu itu sudah mencapai kegemilangannya dengan pelbagai penerokaan ilmu dilakukan. Sebab itulah pentingnya apabila guru mengajar sesuatu ilmu, perlu dikaitkan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan juga sirah (bagi pengajaran / iktibar). Lantaran itu, amat penting aspek penghafalan al-Qur’an menjadi pendidikan asas bagi anak-anak sejak dari kecil lagi.



KESIMPULAN



Oleh itu, bagi guru-guru bahkan juga kepada sesiapa sahaja yang mendidik generasi muda ummah, ingatlah bahawa peranan anda bukan sekadar mengajar, akan tetapi lebih daripada itu. Pendidikan bermatlamat ke arah pembentukan generasi berakhlak dan patuh kepada ajaran agama. Kita mahukan hasil yang terbaik, maka proses yang dilakukan juga mestilah yang terbaik. Wallahu a’lam.




Dokumen berkaitan dengan tarbiyah project boleh didapati dengan melayari laman http://www.tarbiyah.org/

1 comments:

Anonymous,  November 10, 2009 at 1:05 AM  

Hohobin...Hobin jang Hobin

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP