Saturday, November 21, 2009

Kembara Ke Bumi Johor

Tasik Empangan dekat dengan rumah Abdul Ghafar (Jep)


Alhamdulillah, sekali lagi diberi peluang oleh Allah untuk menjejakkan kaki ke bumi Johor. Sebelum ini dah sampai semasa kenduri Ust Hisom, dari Pahang terus ke Johor. Kali ini sempena habis exam, sekali ke lagi ke rumah Abdul Ghafar, dulu pun rumah dia jugak.



Tapi pengalaman kali ini agak berlainan, 3 hari berada di sana ada pengalaman baru iaitu berburu ayam hutan. Kat kampung sendiri mana ada hutan kelapa sawit, jumpa ayam kampung tu ada la tapi ayam hutan rasanya tak pernah jumpa kecuali semasa masuk hutan ke tempat program. Tu pun semasa kat Lembah Kelang dah.



Sepanjang tiga hari berada di sana, tiga kali berburu dalam hutan kelapa sawit. Kali pertama dapat la seekor ayamnya kerana hari pun dah agak lewat petang, siap terserempak dengan babi hutan lagi. Namun tiada masalah kerana kami menaiki kereta untuk menjelajah hutan sawit.



Hari kedua, dapat dalam 8 atau 9 ekor. Kecekapan Pak Cik Paimin boleh dipuji, maklumlah orang dah profesional dalam bab buru ayam hutan ni.



Tu tengah bersiap pasang umpan untuk memancing, dapat ikan ke?


Hari ketiga dek kemaruk nak memancing tapi tak dapat ikan, ayam yang diburu pun tak dapat seekor pun. Sebab waktu masuk berburu tu matahari dah agak tinggi dan biasanya waktu ini ayam dah kenyang makan serta menyorok dalam timbunan pelepah kelapa sawit.



Tetapi sayang sekali, foto ayamnya tidak diambil.




Ini gambar semasa memandu kereta dalam hutan kelapa sawit



Ikan talapia dari tasik empangan


Ada la sedikit pengalaman hasil jaulah ziarah ke Johor pada kali ni. Nak kata di sini, apabila kita mahukan sesuatu, maka kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkannya. Jika tidak dapat, itu maksudnya bukan rezeki kita. Mungkin akan dapat hasilnya pada waktu lain, yang penting usaha.



Wassalam.

Read more...

Sunday, November 8, 2009

Pendidikan Bersepadu : Tugas Penting Pendidik Hari Ini



PENDIDIKAN BERSEPADU : TUGAS PENTING PENDIDIK HARI INI



Jika sebelum ini penulis ada menyentuh soal guru sebagai profesion, tulisan kali akan menyentuh berkenaan pendidikan bersepadu yang menjadi keperluan kepada pendidikan pada hari ini. Semuanya melibatkan guru sebagai pendidik dan tanggungjawabnya dalam menjalankan amanah tersebut. Kaitannya juga dengan tanggungjawab kerajaan yang memerintah menyediakan kurikulum yang sedemikian.



AMANAH PENDIDIK



Jika pada suatu ketika dahulu, sewaktu gemilangnya tamadun Islam, kita melihat bahawa setiap ilmuwan Islam itu ada asas pendidikan yang kukuh. Mereka terdiri daripada para huffaz al-Qur’an sejak dari kecil lagi. Cakupan ilmu mereka cukup luas daripada ilmu fardhu ain sehinggalah fardhu kifayah. Kemudian mereka ada bidang ikhtisas yang mereka khususkan dalam penerokaan dan pengkajian ilmu. Semuanya berpaksikan daripada Tauhid dan tuntutan supaya umat Islam berfikir tentang keajaiban ciptaan Allah Ta’ala. Sebab itulah guru, ilmuwan atau pendidik pada waktu itu tidak sesekali mengambil upah dari usaha menyebarkan ilmunya. Semuanya ikhlas kerana Allah. Bahkan ada satu ilmuwan menolak ganjaran yang diberikan oleh khalifah kerana menerbitkan karya yang cukup berharga. Alasan yang kukuh diberikan oleh beliau ialah, beliau menulis bukan kerana ganjaran. Cukup tulus niat mereka dalam menyebarkan ilmu. Mungkin jauh berbeza pada hari ini. Bila anggapan bahawa guru itu sekadar profesion semata-mata, maka tiada lagi penekanan soal amanah dalam mendidik. Semuanya akan berpaksikan kerja cari makan.



FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH



Dua cabang yang cukup besar dalam ilmu Islam ialah ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Boleh disimpulkan bahawa ilmu fardhu ain khusus kepada ilmu mengurus diri dan ilmu fardhu kifayah itu khusus kepada ilmu mengurus sistem. Apabila lengkapnya ilmu mengurus diri dipelajari dan diamalkan, maka proses mengurus diri akan menjadi baik dan cemerlang. Lihatlah kehidupan para ulama yang mengamalkan ajaran Islam, akan terselah pengurusan dan kehidupan yang cukup berakhlak. Kemudiannya terserlahlah tamadun yang lahir daripada kesempurnaan tadi. Inilah yang dibuktikan oleh umat terdahulu dalam usaha mereka membina tamadun yang cukup hebat. Namun hari ini, lantaran larinya fokus pendidikan ilmu fardhu ain yang sekadar menjadi subjek pengajian, maka lompangnya jelas kelihatan. Rosaknya pengurusan sistem pentadbiran dengan karenah birokrasi dan rasuah hasil dari tiadanya penekanan kepada ilmu fardhu ain. Boleh ditanya berapa ramai kalangan yang berjawatan tinggi dan juga kerja yang dikatakan profesional, berapa kerat yang menunaikan solat? Atau lebih mudah, berapa kerat yang oleh baca al-Qur’an? Anak muda? Inilah hasil pemecahan dua ilmu tadi. Tiada kesinambungan antara keduanya akan terhasillah golongan agama yang tidak tahu isu semasa dan golongan pekerjaan lain yang diberi jolokan profesional yang tidak tahu agama.



TUNTUTAN PENDIDIKAN BERSEPADU



Sudah tiba masanya sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia pada hari ini dirombak secara besar-besaran lantaran ia tidak berupaya mengekang kejatuhan akhlak masyarakat terutama generasi muda mudi. Mereka diuar-uar sebagai pelapis kepimpinan negara, tetapi adakah kita mahu lihat kepimpinan suatu masa nanti dengan wajah anak muda yang porak peranda yang ditunjukkan pad hari ini? Golongan anak muda yang cerdik dan terdidik pula hanya beberapa peratus sahaja. Mampukah mereka menghadapi golongan yang lebih ramai itu? Pendidikan bersepadu secara ringkasnya mahu dikatakan di sini ialah pendidikan yang menekankan kepada matlamat akhirnya untuk membentuk masyarakat yang berakhlak. Nilai Tauhid dalam pendidikan perlu merentas semua bidang baik matematik, sains, geografi, dan sebagainya. Ini kerana fungsi ilmu asasnya adalah untuk kita mengenali Allah dan mentauhidkanNya. Saya tertarik dengan penerangan yang diberikan oleh seorang pensyarah dari UKM sewaktu saya dan sahabat-sahabat mengadakan satu talk atau diskusi. Beliau menunjukkan kepada kami bagaimana setiap yang ada di bumi ini ada perkiraannya. Perkiraan tersebut diketahui melalui ilmu matematik. Adalah caranya yang saya sendiri tidak pelajarinya. Setiap benda yang dikatakan itu ada perkiraannya yang jika dikira akan terbit satu nilai ukuran yang sama. Jadi siapa yang ciptakan semua ini? Manusia? Sama sekali tidak, yang menciptakannya adalah Allah. Maka inilah salah satu contoh bagaimana proses pendidikan bersepadu yang mahu diterapkan dalam pengajaran. Paksi ilmu adalah Tauhid.



ASAS ILMU ADALAH AL-QUR’AN




Pemecahan bidang ilmu tanpa ada tali penghubung antara semua bidang tersebut akan melahirkan senario yang tidak menyihatkan dalam masyarakat. Jika semuanya berkiblatkan barat, bersumberkan ilmu yang dihasilkan di barat semata-mata, maka pincanglah sistem. Kita perlu kembali kepada asas yang diajar oleh Allah dan RasulNya iaitu al-Qur’an dan juga al-Sunnah menjadi sumber kedua. Kemudiannya tinggalan hasil ilmuwan Islam yang mana karya mereka cukup bernilai. Bahkan ia menjadi rujukan barat dalam membangkitkan mereka daripada kegelapan dan kejumudan pemikiran yang mana zaman itu digelar Dark Ages atau zaman kegelapan. Tamadun Islam pada waktu itu sudah mencapai kegemilangannya dengan pelbagai penerokaan ilmu dilakukan. Sebab itulah pentingnya apabila guru mengajar sesuatu ilmu, perlu dikaitkan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah dan juga sirah (bagi pengajaran / iktibar). Lantaran itu, amat penting aspek penghafalan al-Qur’an menjadi pendidikan asas bagi anak-anak sejak dari kecil lagi.



KESIMPULAN



Oleh itu, bagi guru-guru bahkan juga kepada sesiapa sahaja yang mendidik generasi muda ummah, ingatlah bahawa peranan anda bukan sekadar mengajar, akan tetapi lebih daripada itu. Pendidikan bermatlamat ke arah pembentukan generasi berakhlak dan patuh kepada ajaran agama. Kita mahukan hasil yang terbaik, maka proses yang dilakukan juga mestilah yang terbaik. Wallahu a’lam.




Dokumen berkaitan dengan tarbiyah project boleh didapati dengan melayari laman http://www.tarbiyah.org/

Read more...

Boikot




Read more...

Friday, November 6, 2009

Di Mana Aku Nak Berkhidmat?


DI MANA AKU NAK BERKHIDMAT?



Sebelum solat Jumaat semalam (Jumaat 6/11/2009), saya sempat berbual-bual dengan seorang senior yang sedang mengikuti kursus master di UM merangkap pembantu penyelidik (kalau tak silap). Antara yang disentuh ialah soal membina kemahiran untuk melaksanakan program yang berbentuk mendidik. Program training lah katakan. Menarik juga tentang apa yang dikatakan, masakan tidak, hujung minggu lepas beliau mengajak saya ke untuk sama-sama handle program yang dijalankan. Namun terpaksa ditolak last minute sebab ada hal lain. Terasa terlepas satu peluang untuk menambah pengalaman di tempat orang.



Senior saya ni ada mempunyai consultant sendiri. Hebat juga, walaupun umur sebaya tapi pemikiran dan kematangan jauh sama sekali berbeza. Pendidikan dan suasanalah antara sebab membentuknya. Tahun depan katanya akan ada banyak lagi program yang akan dilaksanakan di bawah seliannya. Terasa mahu sertai, namun lihat juga kepada kekosongan waktu. Semester akhir ni hanya ada empat subjek dengan 12 jam kredit. Boleh kot (harapnya boleh join).



Jauh berbincang, sentuh jugalah isu pembekuan penempatan guru selama dua tahun yang bermula tahun depan. Isu yang masih kabur dengan kementerian dengar katanya tak mahu ulas bab ni. tahun 2010 dan tahun 2011. Tahun saya la tu. Graduasi tahun depan dan sepatutnya akan posting pada 2011. Haaa... cabaran tu. Tapi tiadalah nak harap sangat bab posting ni. Tapi difikirkan juga sebab keterikatan dengan KPM. Berkait pula dengan perancangan pekerjaan selepas graduasi. Berapa tahun lagi? Soalan cepu emas... entah.



Cuma berbincang bab yang lebih penting, di mana aku akan berkhidmat. Bidang pendidikan, sudah tentu sebab keterikatanku dengan KPM sebab dapat biasiswa tajaannya. Negeri mana untuk disumbangkan khidmat ini? Hmmm... dengar kata negeri senior ini (Negeri Sembilan) banyak kekosongan guru Pendidikan Islam. tambah pula dengan masyarakat di sana yang agak kurang terdedah dengan pentarbiyahan sebenar. Senior saya mengakui. Katanya nak cari guru boleh, tapi nak cari yang ada fikrah tu susah. Yang caci pelajar ada, tapi yang didik dengan kasih sayang sebenar tarbiyah tu tiada (makna sebalik kata-katanya). Maka menjadi satu keperluan graduan Pendidikan Islam atau Pengajian Islam yang ada semangat mengislah masyarakat berkhidmat di sana.





Ada benarnya pendapat ini, di negeri saya sendiri, syukur Alhamdulillah, boleh dikatakan ramai guru yang berfikrah dan berpendidikan agama. Mudah dicari dengan Kerajaan Negerinya yang menekankan pengislahan masyarakat dan dengan banyak wujudnya sekolah-sekolah agama dan tahfiz al-Qur’an di Kelantan. Pengajian pondok pun masih dikekalkan sehingga hari ini. Pendek kata, suasana tu dah wujud. Sebab tu agak susah parti sekular mahu tawan Kelantan (pasak pasal politik sikit). Berbanding Negeri Sembilan (baru-baru ni Bagan Pinang).




Sukar untuk membuat keputusan itu. Ia akan melibatkan maslahah yang akan diambil kira mengikut situasi yang bakal dihadapi oleh diri ini. Pendakwah perlu tersebar ke serata muka bumi Allah. Ayat ini sudah dapat difahami, cabarannya belum pasti. Berbaki satu semester ini membuatkan fikiran dan perancangan masa hadapan perlu dicorakkan dalam minda ini. Forecasting perlu jelas. Moga dipermudahkan oleh Allah.


Sekian.

Read more...

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP