Kenapa...?
Kenapa….?
Mengapa…?
Benarkah...?
Persoalan ini timbul apabila melangkah masuk ke Universiti. Persoalan tadi timbul apabila perbincangan sekitar sejarah Malaysia.
“Penjajah datang ke Tanah Melayu dan cuba menguasainya kerana mahu memonopoli perniagaan rempah ratusnya...”
“Tok Janggut memberontak kerana membantah British yang mengenakan cukai terhadap tanaman...”
Dua contoh pembentangan penyataan di atas, dicatat (dalam pelbagai olahan ayat, terpulang kepada penerbitnya) mungkin kita pernah membacanya. Bahkan apabila disoal perkara yang berkaitan dengannya, mungkin ini jawapan dari pihak kita.
Hakikat sebenar, ya, mungkin faktanya tidak dicatat dalam buku-buku, mungkin juga ada tercatat (tapi sukar ditemui), bahawa penjajah datang ke Kepulauan Melayu pada ketika itu khususnya di era kegemilangan Melaka untuk apa sebenarnya? Hujah mengatakan untuk perniagaan rempah adalah dangkal sama sekali nampaknya. Tidakkah kita terfikir pada ketika itu Barat menjalankan dan meneruskan Perang Salib dengan agenda lain iaitu menjajah tanah-tanah umat Islam dan menyebar fahaman sesat mereka? Jika dikata untuk menguasai perniagaan, kenapa tidak dijajah Siam pada ketika itu yang juga antara kuasa besar di Asia Tenggara? Jawapan yang saya yakini kebenarannya, kerana ia bukan kerajaan Islam. Dikatakan juga bahawa ditemui dalam arkib sejarah bahawa Kerajaan Siam mendapat cop mohor dari Kerajaan Islam atau Khilafah Uthmaniah bagi mengiktiraf kerajaan yang dimiliki.
Tok Janggut sebenarnya antara penggerak awal menentang penjajahan kafir di bumi Tanah Melayu. Bukan disebabkan cukai, tetapi dengan perasaan penuh kesedaran akan tanggungjawab menentang penjajahan kuffar di bumi umat Islam.
Perjanjian Bangkok 1909 pernah dimeterai antara British dan Siam. Kenapa? Persoalannya juga kita boleh fikir. Sedarkah kita bahawa pada waktu itu pernah wujud wilayah penguasaan umat Islam di jaluran Terengganu, Kelantan dan Selatan Thailand? Ya, kerajaan Islam pernah bertapak di sana. Sebab itulah Siam dan British membelah bahagi tanah umat Islam supaya pecah kesatuan umat Islam dengan sempadan negara yang dibentuk di atas kertas. Sebab itulah jika difikirkan begitu ramai saudara-mara penduduk Kelantan yang berhampiran semapadan Kelantan-Thailand berada di sana? Tidakkah sedar kita bahawa pernah wujudnya hubungan secara langsung dahulunya menandakan ada hubungan persaudaraan yang rapat antara umat Islam wilayah selatan Thailand dengan umat Islam di Pantai Timur?
Begitu licik penjajah kuffar. Memecahkan wilayah kekuasaan umat Islam dengan menjatuhkan kerajaan Islam kecil sebelum menjatuhkan Khilafah Islam, Khilafah Uthmaniah.
Sengaja dilontarkan perbincangan ini supaya kita sama-sama mengambil manfaat daripadanya.
Kita bangga dengan catatan sejarah lampau dengan kegemilangan Kota Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di seluruh rantau Nusantara, tetapi mengapa kerajaan kita sekarang tidak mamhu ambil iktibar untuk menghidupkan kembali keadaan itu di bumi bertuah ini?
Jika bangga, maka iktibarnya, jalankan hukum syariat itu. Alasan tidak bersedia, masyarakat majmuk dan banyak lagi alasan yang tiada asas sudah basi. Sudah hampir 52 tahun, masakan masih belum bersedia?
Cukup sekadar ini untuk asakan minda kita supaya kita sentiasa jeling-jeling ke belakang untuk mengambil pelajaran dari peristiwa lampau untuk dijadikan panduan hari ini.
Wallahu a’lam.